Isnin, 14 Jun 2010

Judi Mengundang Permusuhan & Pergaduhan

Tabiat pemain judi itu, jika kalah pada kali yang pertama, dia akan merasa tidak puas hati dan ingin mencuba dan terus mencuba dengan harapan untuk mendapat kemenangan sehingga menjadikannya hamba judi.

Pada masa kini, kes perjudian sering dipaparkan dalam media massa. Keadaan ini mempamerkan bahawa ia bagaikan sesuatu yang sukar dibendung. Ini kerana kemunculannya dalam pelbagai bentuk dan rupa. Malah judi tersebut menjanjikan habuan dan keuntungan yang cukup lumayan demi untuk menarik minat ramai orang. Dengan bermatlamatkan untuk dapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda itu, menyebabkan seseorang itu lupa atau sengaja melupai tegahan syarak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, arak, judi, pemujaan berhala dan menenung nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor, keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya, moga-moga kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah: 90).

Di sini jelas Allah SWT melabelkan judi sebagai sesuatu yang kotor, keji dan jijik. Tidak sedikit pun mendatangkan kebaikan, bahkan akan mengotorkan roh dan jasad, serta merosakkan perangai dan budi pekerti seseorang.

Bagi menjelaskan lagi betapa keji dan kotornya amalan berjudi itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa bermain kad (berjudi dengannya) maka sesungguhnya ia seolah-olah telah mencelup tangannya ke dalam daging dan darah babi” (Riwayat Muslim).

Dimaksudkan dengan judi itu ialah setiap perkara yang mempunyai unsur beradu nasib atau pertaruhan, sama ada sedikit atau banyak dan kecil atau besar. Walaupun judi diberi nama yang bermacammacam, pelbagai rupa dan cara seperti loteri, tikam ekor, bertaruh, main ketam, semuanya itu adalah haram dan dosa besar.
Cara Salah Cepat Kaya

Walaupun Islam mengharamkan judi sejak awal lagi, tapi masih ada di kalangan Muslim yang melibatkan diri dengan judi. Seperti membeli tiket loteri semata-mata untuk mendapatkan harta atau wang yang banyak dengan cara mudah atau ingin cepat kaya tanpa perlu bersusah payah.

Mereka terpikat dengan hadiah atau ganjaran yang tinggi. Misalnya, dengan membuat pertaruhan sebanyak sepuluh ringgit, mereka berpeluang mendapat wang berpuluh-puluh ribu ringgit. Gejala seumpama ini menyebabkan ada orang yang sanggup menghabiskan wang dan masa semata-mata untuk berjumpa bomoh, pergi melakukanpemujaan di kubur-kubur lama dan pokok-pokok besar. Ada juga yang mendapatkan nombor kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, mendapatkan nombor daripada mimpi dan sebagainya.

Pada tanggapan mereka hal ini dapat mendatangkan tuah dan keuntungan. Demikianlah keadaan seseorang yang sudah menjadi kaki judi atau hamba judi, mereka sanggup melakukan apa sahaja walaupun ia bertentangan dengan agama demi untuk mencapai hasratnya. Allah SWT menerangkan bahawa judi adalah suatu daripada perbuatan syaitan, maksiat dan dosa.

Perbuatan yang menjerumuskan diri kepada kerosakan akidah, sifat tamak dan rakus yang boleh membawa kepada kebinasaan harta dan jiwa, keruntuhan rumah tangga, menimbulkan hasad dengki, pergaduhan, menghabiskan masa yang akhirnya membawa manusia kepada papa kedana, mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga atau masyarakat dan lebih buruk lagi tanggungjawab terhadap Allah SWT.
Judi juga adalah punca kepada dendam, permusuhan, pergaduhan dan membawa kepada bunuh diri. Tabiat pemain judi itu, jika kalah pada kali yang pertama, dia akan merasa tidak puas hati dan ingin mencuba dan terus mencuba dengan harapan untuk mendapat kemenangan sehingga menjadikannya hamba judi.

Apabila beroleh kemenangan pula dia akan terus bertambah tamak dan gemar berjudi sehingga menjadikan judi sebagai darah dagingnya. Soal kalah dan rugi tidak dipedulikan, yang penting seronok main judi sehingga sanggup bergadai dan berhutang walaupun dapur rumah tidak berasap.

sumber:http://www.majalah.iluvislam.com/?p=156

0 ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More