Sesungguhnya perjumpaan sesama anak Kelantan bukanlah kerana perkauman. Sebaliknya, ia adalah perjumpaan atas sifat fitrah manusia untuk beramah-mesra. Malah perjumpaan akan terasa lebih seronok, apabila dapat bercakap-cakap dalam loghat Kelantan.
Demikianlah kelebihan orang Kelantan ke mana sahaja mereka pergi, imej dan identiti itu dibawa dan diamalkan.
Sementara itu, ada lagi kelebihan yang masyhur bagi orang Kelantan, iaitu sentiasa ada ‘tok guru’ walau ke mana sahaja mereka pergi. Ia ada kaitannya dengan budaya ilmu yang sentiasa hidup sehingga terkenal sebagai masyarakat yang suka ‘mengaji’ walau ke mana mereka pergi. Maka kerana ingin berguru dan mengaji ramai orang Kelantan ke Tanah Arab (Mekah , Mesir) atau ke Negara Barat (Amerika, England, Australia) dan lain-lain lagi.
Kesan daripada kelebihan itu, didapati ramai orang Kelantan kini menduduki jawatan penting dalam pelbagai bidang. Termasuklah juga, agak ramai menjadi pegawai dan kakitangan di pelbagai jabatan Kerajaan, khususnya di pejabat Kerajaan di Putrajaya.
Oleh kerana itu, apa yang penting bagi orang Kelantan ialah pakat jaga dan kekalkan kelebihan yang ada itu.
Demikian juga, orang Kelantan cukup dikenali sebagai orang yang kuat berpegang kepada ajaran Islam. Ia adalah kerana imej orang Kelantan yang ramai ‘menuntut ilmu Islam’ menerusi pelbagai saluran ilmu. Antaranya menerusi tok guru pondok, sekolah agama, menadah kitab di masjid serta balaisah (madrasah).
Ia diperkukuhkan lagi dengan cara Kerajaan Negeri Kelantan sekarang yang mentadbir secara Islam. Diikuti dengan penganjuran perjuangan Islam kepada rakyat, dan melaksanakan usaha membangunkan taqwa dan amalannya serta keyakinan dalam hati semua rakyat. Sehingga mereka yakin untuk menolak perjuangan nasionalis dan kekal menerima landasan perjuangan Islam. Ia diibaratkan, rakyat Kelantan sekarang telah bergerak di atas landasan lurus (railway) menuju matlamat sebenar (akhirat).
Kesemuanya adalah berkat daripada kesungguhan Kerajaan Negeri Kelantan memajukan negeri menurut acuan taqwa. Misalnya, langkah mengadakan Tabung Serambi Mekah merupakan satu kaedah galakan untuk membuat kebajikan atas rezeki diterima. Menerusi tabung ini, kita boleh menyumbang punca (rezeki) halal dan begitu juga kita boleh menyumbang/membersihkan punca haram (wang hasil riba bank).
Ia satu didikan untuk rakyat menyediakan bekalan (pahala) untuk akhirat. Maka tabung ini adalah salah satu saluran bagi “menyiap diri semasa hidup di dunia menuju akhirat atas dasar taqwa.”
Hal yang demikian adalah melengkapi falsafah hidup, “cari duit untuk makan dan minum, sementara mencari pahala untuk bekal mati, kerana mati itu tiada pilihan bagi kita.”
Sehingga kini, Kerajaan Negeri yang memakai prinsip Islam––ubudiyah , mas’uliyah dan itqan, telah berjaya mendidik rakyat agar membuat persiapan untuk mati dan persiapan untuk hidup di akhirat.
Apa yang perlu kita yakin, menerusi amal kebajikan itulah akan membuatkan amalan kita (sembahyang) diterima Allah. Jika dihayati firman Allah (surah al-Ma’un, ayat 4-7) :
Bermaksud: “Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang; (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).”
Bermakna, sembahyang itu sebagai ibadat wajib akan dikira sempurna bila sempurnanya sifat amalan baik kita kepada masyarakat––mereka yang patut ditolong. Maka amat malanglah mereka hidupnya sentiasa lalai dalam sembahyang dan tidak pula berbuat amal kebajikan.
Justeru bagi memastikan diri kita terus yakin dengan ajaran Islam, agar bertaqwa dan istiqamah melaksanakan amalan kebajikan serta untuk menambah pahala, maka kekalkan sifat sentiasa menuntut ilmu agar terus lekat di dada. Sesungguhnya ilmu di dada itu lebih bermanfaat untuk memandu kita ke jalan taqwa.
Semoga kita mengambil pengajaran daripada kata-kata Imam Syafie: “ilmu di dada itu lebih bermanfaat daripada yang berada di dalam kitab.”
Selari dengan itu, darjat kemanusiaan seseorang itu akan beroleh kelebihan di sisi Allah SWT, sebagaimana firman-Nya (surah Al-Israk, ayat 70);
Bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
(Catatan daripada pesanan dalam majlis perjumpaan warga Kelantan di Kuching, Sarawak pada 8 Jamadil Awal 1432 11 April 2011, Hotel Grand Continental, Kuching)
sumber:blogtokguru
0 ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.