Selasa, 12 April 2011

KURAFAT ADALAH SYIRIK DAN SESAT...!!!

Islam adalah agama tauhid iaitu agama yang berasakan iman kepada keesaan Allah yang Maha Kuasa, maka ukuran sempurna atau tidaknya Islam seseorang adalah bergantung kepada kesempurnaan tauhidnya.

Namun demikian, masih terdapat di kalangan sesetengah umat Islam yang belum benar-benar sempurna tauhid mereka. Ini adalah kerana mereka mencampur adukkan fahaman khurafat dalam akidah mereka yang bertentangan dengan dasar tauhid. Perlu difahami bahawa syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah SWT pada sifat Uluhiyyiah atau sifat Rububyyiah Allah. Sifat Uluhiyyiah Allah ialah sifat yang berhak disembah, dipatuhi perintah-Nya, dicintai, diberi tumpuan dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan dan menolak segala keburukan.

Manakala Sifat Rububiyah Allah pula ialah sifat Allah dalam mentadbir, mengurus, mendidik dan mengasuh makhluk-makhluk ciptaan-Nya. Oleh kerana itu, amatlah sesat dan syirik jika kita mendewa-dewakan sebarang makhluk dengan mengasihi, mencintai dan mentaati perintah-Nya sebagaimana layaknya mencintai dan mentaati Allah atau meminta dan mengharapkan sesuatu hajat dari sebarang makhluk.

Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 48 yang bermaksud : “ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik dan akan mengampunkan dosa lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguh-Nya ia telah melakukan dosa yang besar. “

Berdasarkan kajian oleh pihak-pihak tertentu, dilaporkan bahawa kepercayaan dan amalan-amalan khurafat masih subur dalam masyarakat kita. Antara amalan dan kepercayaan tersebut ialah pertama, mempercayai bomoh dan dukun dapat memenuhi sesuatu hajat.

Sesetengah masyarakat kita di dapati ada yang menjadikan bomoh dan dukun sebagai tempat memohon dalam memenuhi sesuatu hajat. Hajat-hajat tersebut antaranya ialah seperti ingin mendapat pangkat, kedudukan dan pengaruh atau untuk mendapatkan calon isteri atau suami dan tidak kurang juga untuk menghilangkan penyakit.

Demi cita-cita tersebut sesetengahnya telah meletakkan kepercayaan dan harapan kepada dukun dan bomoh. Keyakinan yang sebegini sebenarnya tergolong dalam pengertian menyekutukan Allah dari sudut sifat rububiyah dan sifat uluhiyah Allah SWT kerana memohon keperluan kepada makhluk. Lebih malang lagi ada segelintir bomoh yang mengambil kesempatan merogol, mencabul kehormatan dan melakukan jenayah kekerasan. Dalam hal ini Nabi SAW telah mengingatkan kita dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Abdullah yang bermaksud : “ Barangsiapa yang menemui tukang tilik atau ahli sihir atau bomoh dan bertanya sesuatu kepada mereka lalu dia mempercayainya akan apa yang dikatakan oleh mereka itu, maka sesungguhnya dia telah menggerunkan apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW “. (Musnad Abi Ya’la)

Amalan kedua ialah memakai tangkal azimat dengan keyakinan tertentu seperti menjadi kebal, pelaris perniagaan, penolak bahaya, penyembuh penyakit, penggerun, penunduk musuh dan sebagainya. Keyakinan kepada azimat yang sedemikian boleh membawa kepada syirik terhadap Allah. Rasulullah SAW melarang keras amalan memakai tangkal azimat. Di dalam sebuah hadith baginda yang bermaksud :“ Sesungguhnya jampi mantera, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah syirik “. (Sunan Abu Daud)

Kepercayaan khurafat yang lain ialah mempercayai hari-hari tertentu contohnya hari Rabu boleh mendatangkan keburukan kepada sesuatu pekerjaan seperti majlis kahwin, majlis pelancaran atau perasmian sesuatu program. Disebabkan yakin kepada kesialan hari-hari tersebut, maka terdapat di kalangan sesetengah masyarakat kita terpaksa menangguh atau melewatkan sesuatu pekerjaan. Sesungguhnya semua hari adalah baik dan boleh dilaksanakan apa juga pekerjaan. Adapun kegagalan, kemalangan dan keburukan yang berlaku adalah berpunca daripada kecuaian dan kelalaian kita sendiri.

Mutakhir ini kita dapati segelintir masyarakat mula mempercayai bintang dan angka-angka tertentu yang didakwa boleh membawa tuah dan keberkatan. Justeru, ada yang sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit membeli nombor-nombor tertentu seperti nombor pendaftaran kenderaan yang diyakini boleh membawa tuah. Demikian juga kepercayaan kepada bintang-bintang yang dihubungkan dengan tarikh kelahiran seseorang sehingga dijadikan ukuran untuk memilih pasangan hidup. Kesemua ini adalah kepercayaan karut marut yang jelas bertentangan dengan akidah tauhid uluhiyah dan rububiyah iaitu ketetapan buruk dan baik kehidupan dunia adalah hak mutlak Allah yang tidak ada kaitan langsung dengan pengaruh sebarang makhluk.

Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 106: “ Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).“

sumber:facebook

0 ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More