Rabu, 19 Mei 2010

Mencintai ISLAM apa maknanya?

Orang mudah mengungkap cinta tapi tak faham makna cinta.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda,

“Ada tiga jenis manusia yang di dalam dirinya terdapat manisnya iman. Iaitu, hendaknya Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada selain keduanya; hendaknya mencintai seseorang hanya semata-mata kerana Allah, dan hendaknya membenci kekufuran sesudah Allah menyelamatkannya dari kekufuran itu, sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam api.”

Tidak ada lain yang tinggi rasa cinta kita melainkan perlu dicurah dan disalurkan pada cinta Allah dan RasulNya. Hatta mencintai seseorang pun atas kerana Allah. Apa maksud “kerana Allah”? Maksudnya tidak lain kerana mahu mentaati Allah, mahu mendapat kasih sayang Allah dan atas kerana menyayangi Allah jua.

Jika kita katakan “mencintai ibu ayah kerana Allah”, maka itu bermaksud Allah memerintahkan kita mencintai mereka dan kita mahu mentaatiNya. Juga atas maksud mencintai ibu ayah itu disukai oleh Allah, diredhai oleh Allah sehingga disebut dalam sebuah hadis,

“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”(at tirmizi)

Adapun jika ada yang mendakwa “aku mencintai sipolan itu kerana Allah”, sedangkan sipolan itu adalah ahli maksiat atau musuh islam jua, maka bagaimana boleh dikatakan mencintai kerana Allah?

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah. Allah berfirman,

“Sesungguhnya agama yang benar dan diredhai Allah ialah agama Islam .” ( Ali Imran : 19 )

Maka mencintai Islam kerana Allah meredhainya. Kita ini berusaha mencintai apa yang diredhai Allah.

Namun, apa terjadi pada orang yang cuba untuk meredhai suatu yang tidak diredhai oleh Allah? Mereka masih mendakwa diri mencintai islam, masih mahu so called iluvislam, masih mahu mengatakan berjuang kerana Allah, masih mahu mendakwa tajdid dan kembali pada Quran dan Sunnah?

Lihat pada puak-puak yang mewujudkan kumpulan untuk berjuang membenarkan kalimah Allah digunakan untuk menafsir tuhan kristian yang mereka bertuhankan. Padahal membenar itu perbuatan meredhai. Bagaimana boleh meredhai kuffar menafsirkan sifat Allah yang bertentangan? Malah telah dilarang oleh Allah berkali-kali dalam al Quran, contohnya,

“Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya)”.(an Nisa: 171)

Jika Allah tidak redha, mengapa kita redha? Jika Allah melarang, mengapa kita membenarkan?

Begitu jua halnya jika perlakuan meruntuh batas-batas yang Allah perintah untuk dipelihara seperti ikhtilat. Siapa bilang di alam maya peraturan ikhtilat islam boleh dilanggar? Malah ada yang cuba untuk mempromosi kisah-kisah pertemuan jodoh di alam maya untuk bacaan sekalian anak muda mudi di dalam forum so called “mencintai islam”. Bertemu jodoh itu pertemuan untuk bernikah, diberikan tafsir berputar belit dengan istilah persahabatan dan ukhuwwah islam.

Pernikahan itu ibadat mulia menyempurnakan agama. Bukan boleh dibiar bebas anak-anak muslimat kita tanpa si lelaki merujuk wali-wali terlebih dahulu, mengikat khitbah (pertunangan) selepas itu baru berkenalan. Berkenalan juga berbatas. Mereka pula belum khitbah sudah masuk merodok usaha perkenalan lebih dari merisik, malah menafsirkan sebagai persahabatan silaturrahim ukhuwwah fillah dan segala macam. Sekali lagi ditekankan usaha berkenalan untuk tujuan bernikah adalah selepas khitbah, dan khitbah beradab itu dengan pengetahuan pihak keluarga terutamanya wali. Senang cerita, tidak ada “bertemu jodoh di alam maya”, semua pertemuan jodoh bermula selepas khitbah, dan tidak ada khitbah secara maya.Mereka tidak kisah, dilanggar tatasusila itu lalu masih mendakwa “mencintai Islam” padahal perlanggaran itu menjemput kemurkaan Allah.

Mencintai ISLAM apa maknanya? Maknanya kita bersungguh-sungguh menjadi muslim yang taat pada kehendak agama, mengejar dan meRINDUI pada keredhaan Allah yang ditunjuk tauladannya oleh sunnah Nabi s.a.w.

Biar kita mencintai dengan rasa RINDU yang bersungguh pada ketaatan, bukan pada omongan dan khayalan kosong lalu melanggar batas dan adab sambil diri benci pada peringatan dan menjauhinya serupa sifat puak kafir dan celaka:

“Oleh sebab itu berilah peringatan karena peringatan itu bermanfaat. Orang-orang yang takut kepada Allah akan mendapat pelajaran,orang-orang kafir dan celaka akan menjauhinya.” (Al-A’la: 9-11)

0 ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More