SUBHANALLAH....
“Allah swt akan turun ke langit dunia pada setiap malam ketika akhir 1/3 malam dan berkata : Akulah Tuhan , Akulah Tuhan. Barang siapa yang berdoa kepadaKU akan aku penuhi doanya , Barang siapa yang meminta kepadaKu akan aku beri kepadanya ,barangsiapa yang memohon ampun kepadaKu , akan aku ampunkan dosanya.” (HR Imam Bukhari : 1145 , Muslim : 758 , Tirmizi : 239 )
ALLAHU AKBAR
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
indahnya Ciptaan ILAHI
♥♥♥Allah SWT berfirman,Katakanlah (Muhammad “Jika kamu benar-banar mencintai Allah,ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.”. [Ali Imran:31]
Ku ingin terbang bebas macam burung ini....
Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya sehabis-habis kebahagiaan itu ialah panjang umur di dalam mentaati Allah." (Hadis Riwayat Khotib daripada Abdullah dari bapanya)
Ahad, 27 Disember 2009
Jumaat, 25 Disember 2009
MAAL HIJRAH: SUNTIKAN UNTUK KEUNGGULAN UMAT
Pada awal abad yang ketujuh Masehi, masyarakat dunia berada di pintu kehancuran. Kuasa dunia pada abad tersebut yang terdiri dari Kerajaan Empayar Rom (509SM-453M) dan Kerajaan Empayar Farsi (700SM-641M) telah menjunam jatuh akibat rebutan kuasa dan perpecahan di sana sini.
Allah Maha Adil dan Maha Penyayang kerana tidak membiarkan masyarakat manusia terus hancur dan musnah. Allah s.w.t mengutuskan seorang rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Dalam mengimbau kembali peristiwa tersebut, Allah s.w.t menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
'Dan berpegang teguhlah kepada Tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (melalui Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya'
(Ali ‘Imran:103)
Ayat tersebut antara lain menjelaskan bahawa keadaan manusia yang hampir-hampir rosak binasa dan akan menerima akibat yang lebih buruk di akhirat telah diselamatkan menerusi pengutusan rasul untuk memandu mereka ke jalan yang benar dan akhirnya mereka terselamat.
Bagi mengubah masyarakat supaya berada dalam keadaan selamat, Rasulullah s.a.w telah berhempas pulas mengorbankan segala apa yang ada dan ini diikuti pula oleh sahabat-sahabat baginda yang setia. Dalam tempoh 23 tahun, usaha tersebut dicurahkan oleh baginda dan akhirnya mencapai matlamat iaitu berjaya mengubah dan menyelamatkan masyarakat dunia dari kehancuran dan kerosakan.
Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w membuat perbandingan tentang usahanya itu yang bermaksud:
'Antara aku dan kamu diumpamakan seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Maka datanglah segala unggas dan binatang-binatang kecil yang berterbangan lalu jatuh ke dalamnya, sedangkan lelaki itu berusaha untuk menahan benda-benda tersebut dari jatuh ke dalamnya. Aku memegang dengan kuat ikatan pinggang kamu supaya tidak jatuh ke dalam api, sedangkan kamu terlepas dari peganganku.'
Hadith ini menggambarkan keadaan manusia yang menuju kepada kebinasaan sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Manakala Rasulullah s.a.w pula berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka agar terlepas dari kebinasaan itu. Akhirnya masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab telah dapat mencabar kuasa dunia iaitu Rom dan Farsi seterusnya muncul selepas itu sebagai sebuah masyarakat yang mengambil alih kuasa dunia.
Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a berjaya mengubah masyarakat dari sudut kepercayaan, sikap, moral, cara berfikir dan segala-galanya, termasuk perubahan pengorbanan daripada tertumpu kepada sesama manusia kepada tertumpu kepada Allah. Masyarakat manusia berjaya dipindahkan dari dua keadaan yang perbezaannya sangat jauh.
Dalam menyusuri perkembangan sejarah, selepas kejayaan kali pertama maka masyarakat Islam mengharungi jatuh bangun dalam pentas pergolakan dunia dan ia berkait rapat dengan komitmen mereka terhadap agama Islam yang suci. Era kemalapan umat Islam kali terakhir berlaku pada awal abad ke-20. Sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki pada tahun 1924, masyarakat Islam semakin terumbang-ambing di gelanggang dunia. Kini masyarakat Islam masuk ke era kelemahan dan keruntuhan yang menyeluruh. Masyarakat Islam yang berpecah-pecah berdasarkan kawasan dan negara, menjadi sebuah masyarakat yang sentiasa dicabar dan dihina di mana-mana. Menjelang abad ke-21, masyarakat Islam diganyang di merata-rata seperti di Yugoslavia, Iraq, Palestin, Kosovo dan di seluruh pelosok dunia. Apa yang berlaku sekarang jelas sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud:
'Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.' Ada yang bertanya, 'Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?' Nabi s.a.w menjawab: 'Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu.' Ada yang bertanya: 'Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?' Jawab Baginda: 'Cintakan dunia dan bencikan mati.'
Hadith ini jelas menunjukkan bahawa sampai suatu masa orang-orang Islam samalah seperti satu hidangan yang dikelilingi oleh sekumpulan orang yang lapar lagi gelojoh makan. Tiada sedikitpun perasaan bimbang dalam hati orang bukan Islam untuk melakukan apa sahaja yang disukai terhadap orang-orang Islam kerana mereka sangat lemah.
Ada bermacam-macam jawapan apabila ditanya sebab kelemahan masyarakat Islam sekarang. Ada yang berpendapat ia berpunca dari kelemahan politik dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam. Ada yang berpendapat kerana kelemahan ekonomi, kelemahan pendidikan dan pencapaian ilmu ataupun kerana kelemahan dalam pencapaian sains dan teknologi. Ada yang memberikan alasan kerana kelemahan iman atau kerana tidak mengikut arahan agama dan bermacam-macam lagi.
Namun berdasarkan hadith itu tadi, jelas menunjukkan bahawa sebab kelemahan masyarakat Islam ialah hilangnya semangat berkorban dari dalam diri mereka. Umat Islam sudah tidak sanggup berkorban untuk tidak cintakan dunia atau berkorban untuk tidak takut mati. Mereka cintakan dunia sehingga sanggup memilihnya dengan membelakangkan kepentingan agama. Mereka juga takutkan mati apabila dituntut oleh agama bangun memperjuangkan sesuatu kebenaran. Inilah sifat-sifat negatif yang menjangkiti umat Islam.
Roh Ma’al Hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada bentuk negatif yang ada dalam diri mereka kepada bentuk-bentuk positif yang selaras dengan Islam. Berkorban ataupun jihad perlu tersemai di dalam jiwa masyarakat Islam sama ada dari sudut pengertian mahupun sikap.
Masyarakat Islam kini agak jauh terpesong dari landasan agamanya. Sebagai contoh, sungguhpun agama menuntut agar umatnya menuntut ilmu, tetapi kenyataan yang ada, sehingga kini sebahagian besar masyarakat Islam adalah buta huruf. Islam juga menuntut umatnya bersatu padu. Namun realiti masa kini umat Islamlah yang paling ramai berpecah belah. Demikianlah juga, Islam menuntut umatnya supaya rajin, berdisiplin dan menjaga masa tetapi orang Islamlah yang kurang berusaha, tidak berperaturan dan suka membuang masa.
Jika dilihat kepada dasar-dasar ajaran Islam itu sendiri, peluang orang Islam untuk maju dan mulia dalam dunia masa kini amatlah cerah. Ini kerana orang Islam mempunyai aset yang mencukupi dalam rangka untuk menempah kemajuan iaitu dorongan dari ajaran Islam dan aset material.
Aset galakan dan dorongan agama ini dapat dilihat dengan jelas di mana Islam sangat mementingkan ilmu dan mewajibkan ke atas setiap umatnya menuntut ilmu. Agama juga menuntut orang Islam sentiasa membina kekuatan dan kemuliaan. Kewajipan ini mendorong kuat umat Islam berusaha mencapai kekuatan dan kemuliaan pada setiap masa dan ketika. Ajaran Islam juga sangat mementingkan pegangan hidup yang mantap dan akhlak mulia. Islam juga mewajipkan umatnya menjalankan aktiviti kehidupan dengan bersih, ikhlas dan amanah.
Oleh itu, galakan-galakan seperti ini sangat penting dan menjadi modal yang besar kepada masyarakat Islam dalam mengembalikan keagungan dan kegemilangan zaman emas umat Islam.
Di samping itu, umat Islam memiliki aset material yang besar dan utama yang tidak dimiliki oleh kuasa kuffar. Petroleum, gas asli, bahan galian, sumber air, hasil hutan, bahan makanan, bilangan penganut dan banyak lagi adalah sumber kekuatan umat yang sentiasa menjadi bahan rebutan dan eksploitasi oleh golongan kuffar. Dengan adanya aset-aset tersebut dan manfaat secukupnya maka tidak mustahil masyarakat Islam menjadi satu masyarakat yang kuat dan maju sebagaimana yang pernah ditempa pada suatu ketika dahulu.
Perpindahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dari kota Mekah ke Madinah dan sebelumnya perpindahan sesetengah sahabat dari Mekah ke Habsyah, merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.
Untuk terus maju dan mencapai kemuliaan, masyarakat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya menyerah kepada takdir. Umat Islam dahulu telah berjihad secara habis-habisan, maka sebab itulah mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita memberi sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang dan dihormati. Sesungguhnya bumi ini dan segala apa yang ada padanya adalah hak kepunyaan umat Islam. Di tangan orang Islamlah selayaknya ia harus ditadbirkan. Firman Allah s.w.t yang maksudnya:
'Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz, bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh'
(al-Anbiya’:105)
Ayat tersebut menjelaskan kepada orang Islam tentang hak mereka mewarisi pentadbiran bumi ini, tetapi dengan syarat bahawa mereka terdiri dari golongan orang-orang yang soleh. Jika syarat tersebut luput, maka mereka tidak berhak apatah lagi layak mendapatkannya.
Bagi melepaskan diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka umat Islam perlu melihat hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan diri menuju kepada kegemilangan di dunia dan di akhirat. Untuk itu maka langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas dan gerak kerja yang teratur dan betul.
Perubahan ke arah kemajuan dan kemuliaan ummah bermula dengan pengisian kefahaman bahawa Islam adalah agama yang agung dan mulia maka umatnya juga jelas adalah umat yang agung dan mulia. Namun ia hanya dapat dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri. Masyarakat Islam juga wajib memahami bahawa segala ilmu yang baik dan berfaedah kepada manusia adalah termasuk ke dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Oleh itu, menuntut ilmu yang bermanfaat adalah satu kewajipan dan dikira berdosa mereka yang mengabaikannya. Masyarakat juga perlu memahami bahawa mereka merupakan pewaris yang sah kepada kepimpinan bumi ini. Tanpa pertunjuk dan panduan hidup dari Allah Tuhan semesta alam, mustahil kaum lain yang mensyirikkan Allah s.w.t layak mentadbir bumi yang diciptakan-Nya.
Di samping kefahaman, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh masyarakat Islam untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat daripada masyarakat lain, asalkan ianya berfaedah dan tidak bercanggah dengan batas-batas syarak. Masyarakat Islam juga perlu bergerak dan bekerja secara terbuka tanpa terikat dengan kongkongan pemikiran yang sempit dan merugikan. Dan juga perlu menghidupkan dan menghayati semangat jihad iaitu bersungguh-sungguh dan berkorban dalam mencapai cita-cita murni yang bertepatan dengan Islam. Umat Islam tidak dapat tidak mesti memperkukuhkan tonggak kekuatan yang terdiri dari kekuatan akidah, fizikal dan material. Mereka juga perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan jasmani kerana ia menjadi syarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini.
Masyarakat Islam yang kian pudar dan kian hilang kekuatan tidak boleh dibiarkan terus berada dalam keadaan seperti ini. Masyarakat Islam pada hakikatnya mempunyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi awal umat Islam boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh. Sesungguhnya Ma’al Hijrah merupakan titik tolak yang paling sesuai ke arah itu.
Rabu, 16 Disember 2009
Keputihan pada wanita
umumnya setiap wanita mempunyai masalah mengenai keputihan...
apakah yg dimaksudkan dgn keputihan menurut islam???
apakah pula yg dimaksudkan dgn kelembapan dari faraj???
adakah ia dikira najis dan tergolong dlm perkara-perkara yg membatalkan wudu'?(ini kerana salah satu perkara yg membatalkan wudu' adalah keluar sesuatu melalui 2 jalan).
adakah lendiran jernih yg keluar dr faraj wanita itu dikatakan sebagai keputihan menurut pandangan islam?
atau adakah ia dikategorikan sebagai kelembapan dr faraj?
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد
Islam memberikan perhatian khusus berhubung kebersihan bagi seorang Muslim. Tidak ada agama yang menjadikan urusan kebersihan di antara sepenting-penting perkara di dalam agama kecuali Islam. Kebersihan yang dituntut tidak hanya semata bersihnya pakaian, anggota dan tempat ibadat serta selamat tubuh daripada hadas kecil dan besar tetapi Islam juga menitik beratkan kebersihan batin seperti ikhlas, jauh dari hasad, dengki, bongkak dan sebagainya sebagai pelengkap ajaran Islam yang maha sempurna. Perintah ke atas setiap Muslim agar bersih dalam setiap ibadat sebagai isyarat sentiasa bersih di dalam semua perkara. Bersih adalah mengagungkan Allah, bersih adalah khusyuknya jiwa, bersih adalah kerukunan hati, bersih adalah kemurnian jiwa pemiliknya bersih adalah... bersih adalah...
Allah menjadikan kebersihan sebagai salah satu prasyarat untuk mendapat kasih sayang Allah. Firman Allah Taala di dalam surah al-Baqarah ayat 222;
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.
Pujian Allah kepada Ahli Quba’ di dalam surah at-Taubah ayat 108;
رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya: Orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
Seorang Muslim mesti menjadi contoh kepada segala kecantikan, kesempurnaan dan kebersihan dalam kehidupan seharian. Lambang kepada kebersihan zahir dan batin sebagaimana pesanan baginda kepada sekelompok daripada sahabat di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ahmad, Hakim dan Baihaqi;
إِنَّكُمْ قَادِمُونَ عَلَى إِخْوَانِكُمْ فَأَصْلِحُوا رِحَالَكُمْ وَأَصْلِحُوا لِبَاسَكُمْ حَتَّى تَكُونُوا كَأَنَّكُمْ شَامَةٌ فِي النَّاسِ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَلَا التَّفَحُّشَ
Maksudnya: Sesungguhnya akan kamu masuk bertemu saudara kamu, maka indahkan kenderaan kamu, elokkan pakaian kamu sehingga kamu seperti tahi lalat (jelas terlihat) di hadapan orang ramai. Sesungguhnya Allah tidak menyukai dosa-dosa pada perbuatan dan perkataan dan sengaja melakukan dosa.
Bahkan tuntutan kecantikan menjadi terlebih utama apabila ada keterikatannya dengan sah atau tidaknya sesuatu ibadat yang dilakukan. Sabda Nabi J sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasaie dan Ibn Majah;
لَا يَقْبَلُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ صَدَقَةً مِنْ غُلُولٍ وَلَا صَلَاةً بِغَيْرِ طُهُورٍ
Maksudnya: Allah tidak menerima sedekah daripada jalan haram dan tidak menerima solat tanpa bersuci.
APA ITU KEPUTIHAN?
Keputihan: Sebatian yang di rembes oleh sistem peranakan wanita
Maka daripada definisi tersebut dapat difahami keputihan yang keluar dari sistem peranakan wanita terdiri daripada;
1) Lembapan faraj: Sedikit lembapan yang didapati oleh seorang wanita apabila meletakkan kain di farajnya.
2) Al-Qassah al-Baido’: Berkata Imam al-Zailaie t: Sesuatu yang seperti benang putih(bertali) yang keluar dari kemaluan wanita pada hari terakhir haidnya. Sebagai tanda wanita itu telah suci.
Sebahagian ulama mengatakan: Air putih yang keluar pada akhir tempoh haid.
3) Mazi: Lendir lembut yang likat yang keluar dari qubul tanpa memancut ketika bersyahwat.
4) Wadi: Lendir lembut putih yang keluar setelah kencing atau keletihan.
5) Mani: Lendir likat yang keluar dari kemaluan ketika kemuncak syahwat. Mani wanita kuning dan lembut.
Semua ini merupakan istilah khusus di kalangan fuqaha berhubung lendir selain darah yang keluar dari sistem peranakan wanita. Di dalam bahasa awam ia dipanggil keputihan. Berkenaan mazi, wadi dan mani tidak dibahaskan di sini kerana sifat dan kriteria air tersebut dapat dikenali dan dibezakan di antara satu sama lain dan hukum mengenai keduanya jelas di sisi kita.
Perbahasan hanya menjurus yang pertama dan kedua (lembapan faraj & Al-Qassah Al-Baido’) kerana ini yang dimaksudkan dengan keputihan di dalam bahasa orang ramai.
KEADAAN KEPUTIHAN YANG KELUAR DARI SEORANG WANITA
Terdapat tiga keadaan keputihan yang keluar dari sistem peranakan seorang wanita;
1) Normal: Faraj mengeluarkan lendir tidak berwarna dan tidak berbau. Ia berfungsi sebagai pelindung semula jadi dengan cara mengurangkan geseran dinding faraj ketika berjalan dan ketika saat melakukan hubungan seks. Dalam keadaan normal lendir ini dominan dan tidak berlebihan, hanya sekadar untuk menjaga ekosistem faraj. Lendir jenis ini tidak keluar dari sistem peranakan wanita dan tidak dipermasalahkan oleh para wanita. Ia seumpama air liur yang sentiasa berada di dalam mulut.
2) Normal: Keadaannya sepertimana yang pertama. Akan tetapi kadarnya agak berlebihan sehingga ianya meleleh keluar dari sistem peranakan seorang wanita. Ini yang dinamakan keputihan mengikut bahasa awam dan dipermasalahkan oleh para wanita mengenai hukum berkenaannya. Keputihan ini keluar pada ketika;
- Tanda suci dari haid.
- Keluar sebelum kedatangan haid.
- Keluar ketika hamil.
- Keluar ketika waktu subur.
- Ketika persetubuhan dan naik syahwat. (Keputihan ini dikeluarkan dari bibir faraj)
- Mencantumkan di antara benih lelaki dan wanita dan sebagai pembekal makanan kepada benih lelaki yang berada di dalam rahim. (Keputihan ini dikeluarkan oleh pangkal rahim)
- Keluar ketika dalam kemurungan atau kegembiraan teramat sangat.
- Selepas menopaus.
3) Tidak normal: Keadaan ini berlaku apabila keputihan yang keluar terlalu banyak dan berlaku perubahan pada warna, bau dan rasa gatal. Lendir menjadi kekuningan sehingga kehijauan, rasa gatal, luka bibir faraj, terlalu kental dan berbau. Keadaan ini memerlukan rawatan doktor.
Dari sini dapat difahami bahawa keputihan adalah lembapan faraj yang dimaksudkan oleh fuqaha di dalam kitab-kitab mereka. Lembapan faraj yang normal seumpama peluh pada kulit kita masing-masing. Apabila lembapan ini di rembes secara berlebihan oleh badan, maka awam menamakannya sebagai keputihan.
Adapun keputihan yang keluar sebagai petanda sucinya wanita daripada haid disebut di dalam istilah khusus fuqaha sebagai Al-Qassoh Al-Baido’. Setiap wanita dapat mengetahui dirinya telah tamat tempoh haid dengan dua keadaan; Sama ada dengan keluarnya keputihan atau kering dari darah haid dengan cara dimasukkan kapas ke dalam kemaluan dan kapas itu tidak dicemari dengan darah haid. Ini berdasarkan hadis Saidatina Aisyah g yang diriwayatkan oleh Bukhari:
كُنَّ نِسَاءٌ يَبْعَثْنَ إِلَى عَائِشَةَ بِالدُّرَجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ
Maksudnya: Sekumpulan wanita pergi bertemu dengan Saidatina Aisyah dengan kapas yang terdapat kekuningan padanya. Maka berkata Saidatina Aisyah: Jangan kalian gopoh, sehinggalah kalian melihat lendir putih.
Ibn Hajar menyebut di dalam Fath Bari: Al-Qassah ialah air putih yang dikeluarkan oleh rahim apabila berakhir tempoh haid.
Berkata Imam Malik: Aku pernah bertanya wanita mengenai lendir putih tersebut. Ia merupakan perkara yang makruf yang para wanita mengetahuinya ketika bersih daripada haid.
KAWASAN YANG MENGELUARKAN KEPUTIHAN
Terdapat empat tempat yang mengeluarkan keputihan bagi wanita;
1) Vulva (Bibir faraj)
2) Vagina (Faraj)
3) Cervix (Pangkal Rahim)
4) Uterus (Rahim).
Kawasan yang paling banyak mengeluarkan keputihan yang berlebihan jika berlaku perubahan hormon ialah pangkal rahim dan faraj.
PERANAN KEPUTIHAN NORMAL KEPADA WANITA
Keputihan yang normal berperanan sebagai;
1) Melembap
2) Membersihkan
3) Penyediaan medium pH yg sesuai utk badan dan peranakan
4) Cairan semula jadi yang membantu ketika berlaku persetubuhan.
5) Membersihkan sistem peranakan dan membuang sel-sel lama dan mengganti dengan yang baru.
Di dalam Subul as-Salam menukilkan ucapan para doktor: Sesungguhnya air putih ini (Al-Qassah) yang datang setelah haid sebagai melembutkan dinding rahim. Dinding rahim dibalut dan melembut dengan air ini sebagai persediaan menyambut benih baru setelah membuang benih lama yang tidak disenyawakan. Mereka berkata: Ia sebagai katil dan hamparan kepada tetamu yang ditunggu.
Berbaki persoalan untuk dijawab:
1) Adakah keputihan itu membatalkan wuduk
2) Adakah keputihan itu najis
PERKARA MEMBATALKAN WUDUK
Terdapat 4 perkara yang membatalkan wuduk di dalam Mazhab kita Imam Syafie;
1) Keluar sesuatu dari qubul atau dubur kecuali mani
2) Hilang akal kecuali tidur tetap papan punggung
3) Sentuh kulit lelaki dan wanita tanpa lapik
4) Menyentuh kemaluan anak Adam dengan telapak tangan.
- Apakah qubul bagi seorang wanita?
Jelas kepada kita semua tanpa diperjelaskan qubul wanita berbeza dengan qubul bagi seorang lelaki. Penjelasan berkenaan ini penting agar tidak meletakkan hukum yang berlainan pada tempat yang sama.
Berkata al-Khatib Syarbini: Para Fuqaha menggunakan bahasa “keluar dari dua jalan” sekadar mengikut kebiasaan kerana hakikatnya bagi wanita terdapat tiga jalan. Dua di qubul dan satu di dubur.
Dua saluran qubul yang dimaksudkan bagi wanita ialah saluran peranakan dan saluran kencing.
- Apakah semua yang keluar dari qubul membatalkan wuduk?
Para Fuqaha membahagikan benda yang keluar dari qubul dan dubur dengan;
1) Kebiasaan keluar melalui jalan tersebut seumpama tahi, air kencing, angin, mazi dan wadi. Adapun keluar mani tidak membatalkan wuduk.
2) Jarang-jarang keluar dari qubul dan dubur seumpama batu, cacing, kencing tidak lawas dan istihadah.
Pada pandangan Syafieyah batal wuduk jika keluar sesuatu dari qubul atau dubur sama ada benda yang menjadi kebiasaan keluar dari situ atau tidak. Hanya sanya terdapat perbincangan Ulama selain Syafieyyah pada benda yang tidak menjadi kebiasaan yang keluar dari qubul atau dubur seumpama batu, cacing dan seumpamanya. Maka dapat disimpulkan di sini, keputihan yang keluar merupakan salah satu di antara perkara yang membatalkan wuduk.
ADAKAH KEPUTIHAN ITU NAJIS?
Berselisih ulama pada hukum keputihan berdasarkan definisi yang diberikan oleh mereka berhubung keputihan: Air yang berada di antara mazi dan peluh.
1) Kelompok yang mengatakan unsur peluh lebih banyak di dalam keputihan mengatakan ia bersih. Ini kerana peluh bersih dan tidak najis. Ini berdasarkan hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh Muslim:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ دَخَلَ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ عِنْدَنَا فَعَرِقَ وَجَاءَتْ أُمِّي بِقَارُورَةٍ فَجَعَلَتْ تَسْلِتُ الْعَرَقَ فِيهَا فَاسْتَيْقَظَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا أُمَّ سُلَيْمٍ مَا هَذَا الَّذِي تَصْنَعِينَ قَالَتْ هَذَا عَرَقُكَ نَجْعَلُهُ فِي طِيبِنَا وَهُوَ مِنْ أَطْيَبِ الطِّيبِ
Maksudnya: Baginda Nabi masuk kepada kami dan tidur qailulah. Baginda berpeluh ketika tidur. Maka ibu ku datang dengan membawa bekas lalu menadah peluh baginda ke dalam bekas tersebut. Baginda Nabi terjaga dan berkata: Wahai Umma Sulaim, apa yang sedang engkau lakukan. Dia menjawab: Ini peluh mu. Kami ingin menjadikannya ia minyak wangi kami dan ia merupakan sebaik-baik wangian.
2) Kelompok yang mengatakan unsur mazi lebih banyak di dalam keputihan mengatakan ia najis. Ini berdasarkan hadis Sayidina Ali yang diriwayatkan oleh Muslim:
عَنْ عَلِيٍّ قَالَ كُنْتُ رَجُلًا مَذَّاءً وَكُنْتُ أَسْتَحْيِي أَنْ أَسْأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَكَانِ ابْنَتِهِ فَأَمَرْتُ الْمِقْدَادَ بْنَ الْأَسْوَدِ فَسَأَلَهُ فَقَالَ يَغْسِلُ ذَكَرَهُ وَيَتَوَضَّأُ
Maksudnya: Aku lelaki yang sentiasa keluar air mazi. Aku malu untuk bertanya baginda Nabi J kerana aku menantu baginda. Aku meminta al-Miqdad bin Aswab untuk bertanya baginda. Baginda menjawab: Hendaklah dia membasuh kemaluannya dan berwuduk.
Dari hadis ini jelas menunjukkan mazi najis dan membatalkan wuduk.
Kelompok yang mengatakan lembapan/keputihan menyamai peluh lebih kuat. Maka daripada apa yang telah disebutkan dapat disimpulkan sebagaimana yang disebut di dalam Nihayah al-Muhtaj & Tuhfah al-Muhtaj (dua kitab muktabar di dalam Mazhab Syafie):
Keputihan itu terdapat tiga jenis:
1) Bersih. Iaitu yang berada di tempat yang terzahir ketika duduk bagi seorang wanita. Kawasan yang wajib dibasuh ketika mandi junub dan istinjak.
(Keputihan yang datang dari bibir faraj /vulva).
2) Najis. Keluar dari dalam faraj. Iaitu kawasan yang melebihi kadar yang boleh dicapai oleh zakar.
(Keputihan yang datang dari pangkal rahim/cervic dan rahim/uterus)
3) Bersih mengikut pendapat terkuat. Dari kawasan yang mampu dicapai oleh zakar.
(Keputihan yang datang dari faraj/vagina. Panjang vagina dalam 7-9 cm).
Di sini dapat kita memahami kaedah ulama yang mengatakan setiap benda yang mengalir di dalam tubuh benda hidup hukumnya najis. Seumpama darah, muntah, kencing dan lain-lain.
- Kemungkinan ada yang mempersoalkan, kenapa dihukum bersih keputihan/lembapan yang datang dari kawasan yang boleh dicapai oleh zakar sedangkan ia termasuk kawasan di dalam tubuh manusia?. Penulis tambah di sini fatwa Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah berhubung masalah tersebut:
“Soalan: Keputihan/lembapan yang secara nas mengatakan ianya bersih, apakah termasuk keputihan yang didapati ketika berjimak yang kadang-kadang ianya keluar, ataupun ia tidak termasuk kategori bersih?
Jawapan: Secara jelas sesungguhnya lembapan faraj haiwan (termasuk manusia) yang bersih, juga bersih jika ia berada di zahir. Iaitu yang didapati di antara dua bibir faraj. Sama hukum bersih sama ada masih di bibir faraj atau yang telah berpindah.
Berlainan hukumnya lembapan yang datang dari dalam iaitu yang datang dari belakang bibir faraj. Ianya najis akan tetapi tidak dikatakan najis kecuali setelah berpindah dari tempat asalnya (dalam faraj). Ini kerana setiap yang masih berada di dalam rongga tidak dihukumkan dengan najis kecuali setelah berpisah dari tempat tersebut.
Bertitik tolak daripada situ tidak dikatakan najis zakar individu yang bersetubuh kerana asal normal keadaan tidak akan meleleh keluar lembapan dari dalam faraj. Jika diyakini keluar lembapan itu ketika jimak maka najislah bibir faraj dan zakar yang menyetubuhinya. Maka lembapan yang keluar ketika jimak;
1) Diyakini datang dari zahir
2) Syak sama ada datang dari zahir atau dari dalam. Kedua-dua keadaan ini dihukumkan ia bersih
Jika diyakini ia datang dari dalam maka lembapan itu najis.”
KESIMPULAN
1) Keputihan yang keluar tidak semestinya penyakit. Keputihan yang normal atau tidak dapat diketahui oleh wanita itu sendiri
2) Keputihan/lembapan yang berada di bibir faraj bersih sama ada terpisah dari bibir faraj atau tidak. Ia menyamai peluh di anggota badan. Ini pendapat terkuat di kalangan Syafieyah.
3) Keputihan yang datang dari kawasan dalam faraj tidak dihukumkan najis kecuali terpisah dari kawasan asalnya.
4) Jika meragui sama ada lembapan/keputihan dari bibir faraj atau dalam faraj, maka hukumnya bersih.
5) Jika pasti lembapan/keputihan dari dalam faraj sepakat ulama syafieyah mengatakan ia najis.
6) Keputihan yang keluar dari dalam rongga peranakan sehingga membasahkan pakaian dalam membatalkan wuduk kecuali pakaian dalam dilembapkan oleh lendir dari bibir faraj. Ini tidak membatalkan wuduk.
Nota hujung: Dikatakan di antara punca masalah keputihan (tidak normal) yang berlebihan sehingga keputihan yang keluar menjadi kekuningan sehingga kehijauan dan berbau busuk yang menimpa para wanita adalah disebabkan memakan kubis bulat atau kuahnya. Kesannya boleh membawa kegatalan, rasa sakit, tidak selesa dan jangkitan kuman kepada kemaluan wanita tersebut. Jika masalah ini serius ia boleh membawa kepada penyakit kanser pangkal rahim, kemandulan dan Migrain.
Allahu A’lam
Anwar Ibrahim & PAS Memacu Kewangan Islam : Boleh Diharapkah ?
Dato Seri Anwar Ibrahim baru sahaja dilantik menjadi penasihat ekonomi Kerajaan Negeri Selangor. Berbekalkan pengalaman beliau selaku Menteri Kewangan suatu ketika dahulu dan lain-lain pengalaman berkaitan, kepada beliau diletakkan harapan besar oleh pengikutnya dan rakyat negeri Selangor untuk melakukan sesuatu yang terbaik buat negeri Selangor. Khususnya apabila diwarwarkan Selangor sedang dirancang untuk dirubah menjadi Islamic financial hub.
Sehingga hari ini, ahli-ahli akademik dan pendokong industri perbankan dan kewangan Islam masih tertanya-tanya apakah peranan, sumbangan dan gerak kerja yang telah dan akan dilakukan oleh Kerajaan Selangor dan Kedah untuk pembangunan sektor kewangan dan perbankan Islam.
Jika ditinjau pula kepada ucapan dasar Presiden PAS yang terbaru, tiada perkara baru yang disebut dalam hal kewangan dan perbankan Islam. Hanya perkara lama yang asyik diulang-ulang tanpa perincian untuk melaksanakannya. Diharapkan perincian boleh dibahas oleh perwakilan, namun ia juga meleset.
Saya masih ingat bertemu dengan Dato Dr Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS di rumah beliau. Ketika itu saya bertanya dan mencadangkan kepada beliau, agar Majlis Syura PAS mengeluarkan satu arahan jelas kepada semua ahli PAS untuk TIDAK TERLIBAT dengan kewangan dan perbankan riba konvensional. Beliau bersetuju tetapi tidak saya ketahui apa yang terjadi selepas itu.
Isu Kewangan Islam di Dubai : Penjelasan Dipermudah
Ikhlas : Ia Lebih Sukar Tetapi Kemestian !
Gelaran Buruk & Gelaran Haji dan Hajjah
Pergi Haji : Dalam Hutang Atau Secara Berhutang
Tuan Guru Nik Aziz & Tajaan Wang Haji
Zulhijjah & IdilAdha : Beberapa Isu & Hukum
Bukan Islam Memasuki Masjid : Penjelasan
Tangkapan Dr Mohd Asri : Suatu Pandangan
Perbincangan Hukum Kosmetik Dengan Serbuk Emas
Nak Bagi Sedeqah atau Pinjaman Tanpa Faedah?
Dosa Jual Beli Hari Jumaat
Sejadah 'Berdiri' di Rumah Saya!
Mengubah Fikiran Sempit & Pendek
Tanyalah Ustaz, Cuti Raya & Terus ‘Berlari'
Menerima Anugerah Media Islam Negara : Web Islamik Individu Terbaik
ROYALTI : SIAPA YANG CELUPAR ?
Saya dilihat celupar semata-mata kerana mempertahankan hak rakyat Negeri Kelantan untuk mendapatkan royalti. Saya dilihat celupar kerana ingin terus berdoa kepada Allah SWT agar Allah membuka pintu hati Perdana Menteri dan tidak terus menzalimi rakyat Kelantan. Saya dilihat celupar semata-mata kerana menegur presiden Umno diatas keengganan beliau untuk memberikan royalti itu kepada sebuah kerajaan negeri yang sah. Saya dipandang celupar kerana mendoakan kemusnahan kepada sesiapa jua yang zalim kerana royalti itu hak dari perut bumi kami. Ia hak yang termaktub melalui sebuah perjanjian bertulis yang sempurna di tahun 1974.
Celuparkah saya semata-mata kerana jujur membaca dan menafsir maksud perjanjian itu tanpa keliru? Kenapa harus ditukar pemberian dari royalti kepada wang ehsan dan diberi pula melalui sebuah jabatan kerajaan? Semua orang tahu, JPP itu bukan kerajaan. Seperti Jabatan Pertanian atau Jabatan perkhidmatan Haiwan, ia cuma Jabatan kerajaan. Pada saya sikap Umno yang sekular selama inilah yang menghalalkan dia bertindak sebegitu liar. Ini kerana Ugama Islam telah diletak diluar dari kandang politik dan pemerintahan. Dia(Umno) meletakkan soal dosa pahala diluar dari urusan pemerintahan. Barangkali bagi Umno, agama tidak lebih dari pengertian “religion” seperti apa yang difahami oleh orang barat. Inilah punca atau ibu kapada segala keceluparan Umno baik dalam isu royalti di Kelantan atau pelbagai isu keadilan, rasuah, demokrasi dan good governance disepanjang 52 tahun pemerintahan.
Sikap Umno yang menolak Islam syamil yakni Islam komprehensif padahal Allah Taala sebut, “ud khulu fis silmikaafah” iaitu hendaklah kamu terima Islam secara keseluruhan ini amat-amatlah mendukacitakan. Sepanjang berpuluh tahun menegur pendirian yang salah ini, seingat saya, saya belum lagi menerima respons Umno baik secara bertulis ataupun lisan. Ini yang menyebabkan kita tidak sanggup lagi ditipu melalui coklat Kit Kat bernama Kerajaan Perpaduan. Itu pertama .
Kedua, sesungguhnya amalan ia bercanggah dengan amalan Nabi SAW sendiri. Pada bila-bila masa sekalipun, tidak ada ruang dalam hidup Nabi, dalam hidup para khalifah dan para sahabat r.a. yang mengasingkan politik dengan agama dan agama dari politik.
Yang ketiga, didalam al-Quran; segala keperluan hidup manusia meliputi masalah sosial, masalah akidah, masalah ekonomi, masalah rumah tangga, masalah aman dan damai, masalah protokol dan hubungan diplomatik termasuk mengirim surat kepada semua raja dan pembesar negara- semua sekali ada disentuh. Ia disempurnakan lagi oleh riwayat dan hadith-hadith Nabi SAW.
Yang keempat bila kita asingkan politik dari agama, kita nak ganti dengan apa di tempat yang lompang itu? Ia sama ada kita turut penjajah atau turut nafsu ammarah kita. Dengan amalan songsang berkenaan apa jaminan di akhirat kelak, apa yang kita tiru selain dari Islam itu, akan mendapat keredhaan Allah?
Yang kelima, jika hidup kita dapat diurus sendiri tanpa perlu menurut Islam, apa gunanya kita dikirimkan oleh Allah SWT seorang Nabi? Manusia boleh fikir sendiri dan berbuat sesuatu mengikut nafsu sendiri? Pegangan dan amalan ini cukup sinonim dengan parti Umno. Inilah parti dan orang yang sebenar-benarnya boleh kita gelarkan sebagai bermulut celupar.
Seingat saya, sewaktu isu hak royalti mula-mula timbul, “orang ini” jugalah yang menyebut bahawa Kelantan tidak ada hak ke atas royalti. Ini terang-terang mendahului Perdana Menteri. Macam mana PM yang juga Presiden Umno di ketika itu, belum kata apa-apa dan belumpun putus apa-apa lagi, tiba-tiba Timbalan Pengerusi Umno Negeri sudah membuat keputusan? Ini orang panggil mendahului bos. Ini sebuah keceluparan yang melampau. Lebih melampau lagilah apabila kita hubungkan sikap celupar Dato’ Awang ini dengan sikap menolak Islam Umno yang lebih besar. Keceluparan jenis ini dua kali ganda lebih berbahaya.
Dengan pengisytiharan Perdana Menteri Malaysia terkini yang Kelantan akan diberi wang ehsan pula (walaupun saya tetap tidak boleh terima dan tetap akan terus berdoa), maka sahlah yang Dato’ dari Bachok ini sudah melampau batas. Dengan menyalahi segala tertib dan protokol, dia sudah menjadi terlebih celupar.
Hari ini pula, Perdana Menteri berkata bahawa beliau hanya akan mengikut undang-undang. Setahu saya, Akta Pembangunan Petroleum 1974; itulah undang-undangnya dan Kuli lah yang terlibat secara langsung dalam merangka serta menentukan kandungannya. Melalui blog beliau dalam Razaleigh.com misalnya, kita diberitahu dengan jelas bahawa perjanjian yang ditandatangani oleh semua Kerajaan Negeri dengan Petronas di ketika itu dibuat dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang sangat mudah hingga mana-mana budak sekolahpun boleh faham.( That agreement is made out in language simple enough for a schoolboy to understand, in both Bahasa Malaysia and English).
Dalam konteks hak royalti 5% Kerajaan-Kerajaan Negeri, Yang Amat Mulia Tg. Razaleigh menyebutnya begini:”The States’ rights to 5% of profit derived from the extraction of any petroleum resources is based on a quid pro quo according to which the States vested entirely and in perpetuity all their rights and claims to petroleum resources to PETRONAS. In return for this PETRONAS is legally bound to pay the states the 5% directly.” Pada saya ini terlalu jelas.
Keengganan pusat memberi royalti kepada Kelantan dengan menukarnya dalam bentuk pemberian wang ehsan bukan sahaja akan melanggar Akta Pembangunan Petroleum 1974, bahkan lebih besar, kerajaan Pusat juga akan dilihat menidakkan perjanjian yang sama terhadap negeri-negeri lain sekaligus menafikan hak rakyat di negeri-negeri tersebut. Mustahil kerajaan-kerajaan negeri lain tidak khuatir dengan sikap dan pendirian Kerajaan Pusat pimpinan UBN yang tidak konsistan.
Dengan sedikit kajian seperti yang saya kutip dari analisis di atas, saya betul –betul tidak faham bagaimana boleh seorang Perdana Menteri, masih yakin yang beliau bercakap mengikut undang-undang. Undang-undang mana lagi sedangkan apa yang Kuli sebut itulah undang-undangnya ! Di sini,salahkah jika mana-mana rakyat yang waras beranggapan yang Perdana Menteri mereka sudah meracau? Lebih teruk dari Awang Adek, Presiden Umno sendiri boleh dilihat sedang bercakap merapik dan bercakap celupar ?
Dalam menangani hal-hal yang berbelit-belit seperti inilah kadang-kadang, hati saya cepat terluka. Dalam keadaan-keadaan beginilah juga, kedua belah tangan saya menjadi cukup ringan untuk diangkat ke langit. Jika orang marah saya berdoa dan mengadu kepada Allah secara kuat dan terbuka ditempat ramai dalam kes penganiayaan ini, maka siapakah yang boleh menghalang saya dan rakyat saya dari terus berdoa dalam gelap di malam buta biarpun bersendirian? Saya pasti, pada akhirnya Allah tidak akan bersama dengan orang-orang yang menindas, zalim dan menekan.
"Bahkan Dialah (Allah) yang kamu seru lalu Dia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNyajika Dia kehendaki dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu.)
- Maksud Surah al-An 'am, Ayat 41-
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan.






